Ticker

6/recent/ticker-posts

Apa itu Nuzul Al-Quran?

Assalamualaikum 



 Alhamdulilah sangat bertuah sebab masih lagi di berikan kesempatan untuk meaip di blog acik nie. Sebelum tu, bersama-samalah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Taala yang memberikan satu lagi peluang untuk bernafas sekali gus memberi kesempatan untuk kita beramal ibadah dengan ibadah puasa pada hari ni. Hari ini sudah masuk hari ke 17 bagi umat Islam yang berpuasa dan bagi umat Islam juga, 17 Ramadhan adalah hari yang cukup bersejarah dalam Islam. Sejarah 17 Ramadhan adalah permulaan kepada umat Islam dalam memahami sejarah dan kepentingan Al-Quran dalam kehidupan.

Pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ,ialah hari di mana Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu baginda ber'uzlah sendirian di Gua Hira'. Pada waktu ini, malaikat Jibril telah datang menyampaikan wahyu iaitu Al-Quran dan baginda disuruh membaca lima ayat pertama daripada surah Al-'Alaq. Sejarah penurunan Al-Quran inilah menjadi titik tolak kepada tuntutan membaca Al-Quran yang mana bagi setiap huruf yang dibaca, akan diberikan ganjaran berlipat ganda.



* Apa itu Nuzul Al-Quran?


" Dari segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau simbolik sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran".
* Bagaimana Al-Quran diturunkan?

Harith bin Hisham, sahabat Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Baginda bagaimana wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab: "Kadang-kadang wahyu datang kepadaku dengan gema (desingan) loceng dan ini amat berat bagiku, dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepadaku. Kadang ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepadaku menyerupai seorang lelaki, bercakap denganku dan aku menerima apa sahaja yang disampaikannya kepadaku".

* Peringkat penurunan Al-Quran :

Para ulama' menyatakan penurunan Al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekali gus, dan berperingkat. Walau bagaimanapun, mereka berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan Al-Quran seara sekali gus. Maka, ada tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu:

- Kali pertama : Penurunan AQ daripada Allah s.w.t ke Luh Mahfuz
- Kali kedua    : Dari Luh Mahfuz ke Baitul 'Izzah di langit dunia
- Kali ketiga    : Penurunan Al-Quran kepada Jibril a.s.dalam tempoh 20 malam

Hikmah Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur :


1. Untuk menetapkan jiwa Rasulullah s.a.w. dan menguatkan hatinya.

2. Untuk mendidik masyarakat waktu itu secara beransur-ansur berdasarkan situasi masyarakat pada waktu itu.
3. Untuk menyesuaikan dengan peristiwa yang baharu berlaku iaitu pabila timbul sesuatu masalah dalam kalangan mereka.
4. Sebagai bukti bahawa sumber Al-Quran itu adalah Kalam Allah semata-mata dan bukan ciptaan manusia.

Ternyata Al-Quran ialah kalam Allah yang tinggi nilainya dan diberi ganjaran pahala bagi yang membacanya. Dalam sehari, luangkanlah masa dengan menatap beberapa baris ayat daripada Al-Quran seandainya sibuk. Jika punya waktu terluang, bacalah dalam sebaris dua ayat daripada surah Al-Quran. Jika masa yang agak panjang ada, peruntukkan masa sebentar bagi membaca sehelai atau dua helai dalam sehari. Bagi yang inginkan ganjaran besar, bacalah sebanyak mungkin ayat-ayat daripada Al-Quran tanpa jemu..

Sesungguhnya, akan mati hati seseorang itu seandainya dia tidak membaca Al-Quran lebih daripada 3 hari...

" Jika kamu ingin mengenal Allah, bacalah Al-Quran..Jika kamu ingin berinteraksi dengan Allah, maka solatlah kamu ".
 


Catat Ulasan

0 Ulasan