suami beri nafkah pada isteri
gambar hiasan

Assalamualaikum 


Alhamdulilah masih lagi bernafas di muka bumi yang sementara ini, ucapkan syukur ke atas nikmatnya. marilah kita berselawat ke atas junjungan besar nabi muhammad saw.Tak sangka pula bertalu di email acik, hampir 24 orang mengatakan hal yang tentang iaitu suami tidak memberi nafkah kepada isterinya.

Banyak hal yang di utarakan ,adanya kerana telah berkahwin dua dan paling ketara isu yang di bawakan adalah kerana isteri telah bekerja. Jadi mari kita fahami tentang nafkah. 

Nafkah bermaksud segala perkara yang diperlukan oleh seseorang insan yang terdiri daripada makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal.Nafkah juga terbagi kepada zahir dan batin.Apa yang ingin di bicarakan adalah nafkah zahir.
Pembahagian nafkah terbahagi kepada lima bahagian iaitu:
1] nafkah terhadap diri sendiri, 
2] nafkah orang tua kepada anak, 
3] nafkah anak kepada orang tua, 
4] nafkah suami kepada isteri, 
5] dan perbelanjaan lain-lain.  
Apa yang ingin acik bincangkan tentang nafkah suami kepada isteri.Wajib suami memberi nafkah kepada isteri mengikut kemampuannya dan juga dengan meraikan keperluan isteri. Firman Allah (bermaksud); "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan" (Surah at-Thalaq, ayat 7).
Nafkah kepada isteri adalah dikira, tetapi berbeza bilangan dan jenis, merujuk kepada kemampuan suami. Perbelanjaan terhadap isteri tidak dirujuk kepada kedudukannya sama ada kaya atau tidak. Tidak semestinya apabila isteri anak orang kaya, maka si suami pula perlu cukupkan keperluan isteri sebagai orang kaya. Konsep seperti adalah tidak benar dalam Islam.  

Islam membahagikan kemampuan suami kepada tiga bahagian iaitu: 1] orang kaya, 2] orang sederhana, 3] orang fakir. Ketiga-tiga pembahagian ini merujuk kepada uruf masyarakat. Secara mudahnya, orang kaya perlu membelanjakan isterinya cara orang kaya, orang sederhana dengan cara sederhana, manakala orang fakir dengan cara fakir. Jangan apabila kaya, si isteri langsung tidak dibelikan apa-apa.Hanya memakai baju yang telah lusuh sahaja dengan alasan jimat. Si fakir pula jangan berbelanja isteri macam orang kaya, akhirnya akan merana diri kerana hutang sekeliling pinggang.

Di dalam hadis yang menceritakan Hindun (isteri Abu Sufyan) yang mengadu kepada Rasulullah tentang suaminya (Abu Sufyan) yang kedekut (tidak memberi belanja yang mencukupi untuk isteri dan anaknya), Rasulullah berkata kepada Hindun; "Kamu ambillah dari hartanya kadar yang mencukupi untuk kamu dan anak kamu mengikut kebiasaannya"[2] (HR al-Jamaah kecuali Imam at-Tirmizi. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar, Kitab an-Nafaqaat, bab al-Mar,ah Tunfiqu Min Mali az-Zauji min Ghair 'ilmihi...). Hadis ini menunjukkan bahawa keperluan isteri juga diambil kira dalam kewajipan memberi nafkah kerana Nabi menyebutkan "ambillah kadar yang mencukupi". Kecualilah jika suami miskin, maka ia dituntut memberi nafkah mengikut kemampuannya dan isteri hendaklah redha dengan keadaan suami dan berpada dengan apa yang diberikan.
 
Adapun jumhur (majoriti) ulamak, mereka tidaklah menentukan kadar tetap, akan tetapi dirujuk kepada kemampuan suami dan juga keperluan isteri.[3] Kemampuan suami boleh berubah, begitu juga keperluan isteri. Pada ketika suami melihat keadaanya lebih senang, ia hendaklah melebihkan sedikit belanjanya untuk isteri dan isteri pula berhak menuntut peruntukan yang lebih. Begitu juga jika keperluan isteri bertambah kerana sesuatu sebab, pertambahan itu juga perlu berada dalam penilaian suami jika ia mampu meraikannya. Di dalam al-Quran, Allah amat menekan para suami agar melayani isteri dengan baik untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga. Firman Allah (bermaksud); "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik" (Surah an-Nisa', ayat 19).

Mungkin kita boleh meletakkan tahap-tahap bagi perbelanjaan dengan merujuk kepada tahap-tahap maslahah manusia yang diputuskan ulamak iaitu tiga peringkat;
Pertama; (tahap keperluan paling atas); iaitu keperluan daruriyat.
Kedua; keperluan hajiyat.
Ketiga; keperluan tahsiniyat.

Keperluan daruriyat ialah yang boleh menyebabkan kerosakan hidup jika tidak diberikan. Ini merangkumi makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal yang asas. termasuk juga keperluan ilmu khususnya ilmu agama kerana tanpanya akan rosak kehidupan di akhirat. Keperluan hajiyat ialah yang bawah dari daruriyat, iaitu yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan hidup, tetapi membawa kepada kehidupan yang susah, sukar dan menderita. Contohnya; perabot-perabot rumah yang asas, peralatan dapur, pakaian yang lebih sedikit dari keperluan daruriyat tadi dan sebagainya. keperluan Tahsiniyat ialah yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan dan tidak juga membawa kesusahan hidup, cuma kewujudannya boleh menambah keselesaan hidup. 
Sebenarnya tanggungjawab kita besar sebagai lelaki, apabila kita berkahwin maka tanggungjawab kita juga akan bertambah. Maka laksanakan tanggungjawab kita dengan sebaik yang mungkin. Harus di ingatkan, walaupun isteri bekerja ,ada pendapatan sendiri,walaupun kita mengizinkan isteri keluar bekerja tetapi jika kita tidak memberi nafkah, maka solat kita akan di tolak. Perlu di ingat, suami wajib memikul tanggungjawab terhadap isteri mereka. Melainkan sekiranya si isteri telah menghalalkan tanggungjawab yang sepatutnya di berikan kepada mereka. Jika telah di halalkan maka lepaslah tanggungjawab.
Rujukan  
1. Tafsir al-Qurtubi, Surah at-Talaq, ayat 7.
2. At-Tahwir wa at-Tanwir, Syeikh Muhammad at-Tahir ibnu Asyur, Surah at-Talaq, ayat 7.
3. http://www.islam.gov.my/e-hadith/kewajipan-suami-memberi-nafkah
4. Buku Ustaz Kazim Elias (tuhan sedang menguji kita)