Dalam hidup ini, kita semua ada sesuatu – atau seseorang – yang sangat kita sayang. Ia mungkin keluarga, pasangan, sahabat, atau mungkin juga sesuatu yang abstrak; seperti ketenangan, maruah, atau impian. Rasa sayang itu fitrah. Allah jadikan hati manusia mampu mencintai dan ingin memiliki.
Namun, ada satu perkara penting yang sering kita lupa: apa yang kita sayang, jangan kita genggam terlalu kuat… tetapi serahkanlah kepada Allah untuk menjaganya.
Kerana manusia ini terbatas. Kita tak mampu melindungi apa yang kita sayang selama-lamanya. Kita tak mampu jaga seseorang 24 jam. Kita tak mampu menjamin kebahagiaan yang kekal. Bahkan, kita tak mampu jaga hati kita sendiri tanpa pertolongan Allah.
Kita sayang ibu bapa kita – minta Allah jaga mereka.
Doakan agar mereka sentiasa dalam lindungan-Nya, diberi kesihatan, dan sentiasa dipelihara iman mereka. Kerana kita tak akan mampu bersama mereka setiap masa, tapi Allah Maha Melihat dan Maha Menjaga.
Kita sayang pasangan atau insan yang kita harapkan menjadi jodoh – minta Allah jaga dia.
Kita tak tahu apa yang dia lalui setiap hari. Kita tak mampu mengawal perasaannya. Tapi kita boleh berdoa, “Ya Allah, jika dia baik untukku, untuk agamaku, untuk duniaku dan akhiratku… maka dekatkanlah. Jika tidak, jauhkan dengan cara yang paling lembut dan paling aku mampu terima.”
Kita sayang anak-anak – minta Allah jaga mereka.
Dalam dunia yang penuh godaan dan fitnah, kita hanya mampu membimbing. Tapi yang membolak-balikkan hati mereka adalah Allah. Maka minta Dia jagakan hati anak-anak kita, agar tetap dalam jalan kebaikan.
Kita sayang diri kita – minta Allah jaga iman kita.
Sebab hidup ini terlalu banyak lintasan yang boleh menggelincirkan kita. Hari ini kita mungkin kuat, esok belum tentu. Maka, jangan pernah letakkan kepercayaan sepenuhnya pada diri sendiri. Letakkan pergantungan kepada Allah. Minta agar Dia tetapkan hati kita di atas agama-Nya.
Satu doa yang pendek, tapi sangat besar maknanya:
"Ya Allah, apa yang aku sayang… jagakanlah untukku. Dan jika sesuatu itu bukan yang terbaik untukku, maka jauhkanlah ia dengan kasih sayang-Mu."
Jangan terlalu sayang sesuatu hingga melebihi cinta kita kepada Allah.
Kerana bila kita terlalu sayang, terlalu bergantung, terlalu meletakkan kebahagiaan kepada sesuatu yang bersifat sementara… kadang-kadang, ia akan menjadi ujian.
Allah pernah berfirman dalam Surah Al-Anfal ayat 28:
"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian..."
Kadangkala, apa yang kita paling jaga dan paling tak sanggup hilang, di situlah Allah uji. Bukan kerana Allah benci. Tapi kerana Dia nak ajar hati kita untuk kembali bergantung kepada-Nya. Supaya kita sedar, kita tidak memiliki apa-apa pun di dunia ini – semuanya hanya pinjaman.
Kita terlalu sayang seseorang… Allah uji dengan perpisahan.
Kita terlalu sayang harta… Allah uji dengan kehilangan.
Kita terlalu sayang kerjaya… Allah uji dengan tekanan dan kegagalan.
Kita terlalu sayang impian… Allah uji dengan jalan yang tak mudah.
Tapi jika dari awal kita dah serahkan apa yang kita sayang itu kepada Allah untuk dijaga – maka kita akan lebih tenang jika diuji. Kita tidak akan terlalu patah, kerana kita tahu… segala yang kita sayang telah kita letak dalam penjagaan Tuhan yang Maha Baik.
“Ya Allah, apa pun yang aku sayang… jagalah ia untukku. Dan jika ia bukan terbaik buat dunia dan akhiratku, maka gantilah dengan yang lebih baik, walaupun aku tidak memahaminya sekarang.”
Sayang itu fitrah. Tapi biar ia dalam kawalan iman.
Letakkan batas, letakkan doa, letakkan pergantungan pada Allah.
Kerana bila Allah yang jaga, kita tidak perlu takut kehilangan.
Dan bila Allah yang ambil semula, kita tidak akan terlalu kecewa – kerana kita tahu Dia sedang mengatur sesuatu yang lebih baik.
0 Ulasan