berdoa

Assalamualaikum

Alhamdulilah keadaan di Shah Alam semakin membaik , kurang dah jerebu selepas hujan beberapa hari yang lepas. Sebelum tu acik minta maaf kepada kamu semua dan tidak dapat menjawab semua soalan yang kamu hantarkan pada acik. Acik pilih soalan dulu , kalau ada apa apa boleh terus hantarkan pada acik , ada waktu acik jawab. Hari ini , acik dapat satu soalan dari Razif  seprti di bawah ini 

Assalamualaikum acik, aku nak tanya ini, aku tengah geram dan rasa tak puas hati dengan kawan aku , menyampah pon ada. Tapi boleh ke kalau kita doa pada Allah untuk keburukan atau bala untuk dia, biar dia mata di langgar lori pon tak apa, geram aku dengan dia.

MasyaAllah , Istighfar jangan terlalu ikut emosi, bawakan bersabar. 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “ Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak-anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kitakan orang islam dan sebagai seorang muslim tidak di benarkan mendoakan orang lain untuk keburukannya, apalagi dengan maksud ingin menghancurkanya, mendoakan keburukan orang lain sahaja di larang apalagi jika kita mendoakan kebinasaan saudara kita yang seiman dan seakidah.

Dari Abu Hurairah berkata bersabda Rasulullah SAW : "Apabila seseorang berkata : 'Binasalah manusia', maka dialah yang akan binasa." (Hadis Riwayat Muslim)

Mendoakan kebinasaan orang lain hanya di dorong oleh perasaan sakit hati di atas kesalahan atau kesilapan orang lain kepada diri kita adalah dilarang dan di tegah oleh agama. Sifat pemaaf adalah sifat mahmudah yang sangat dituntut oleh Islam.

Salah satu di antara ajaran Islam yang sangat agung adalah ajaran untuk saling memaafkan. Memafkan bermaksud orang lain yang yang mempunyai kesalahan kemudian kita memberi maaf. Sementara kalau kita yang mempunyai kesalahan maka wajib bagi kita untuk meminta maaf.

Orang yang mulia adalah orang yang suka memafkan. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahwasannya 


Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : Musa bin Imran a.s, berkata: "Wahai Tuhanku diantara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? "Allah Azza Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ ( Hadis Riwayat Baihaqi )

Kadang kala kita bertemu dengan seseorang yang sedang marah berkata, "Sampai mati pun aku tidak akan memaafkan kesalahannya, aku akan tuntut di akhirat." 

Ahhh kata-kata seperti ini adalah bukan sifat orang yang beriman, kerana ianya lahir daripada perasaan sombong dan takbur dalam diri seseorang. Sedangkan Allah SWT yang Maha Pencipta sekelian makhluk boleh memaafkan kesalahan hamba-hamba-Nya dengan sifat Al-'Afuwwu, adakah kita lebih hebat daripada Allah SWT? Ingat sesiapa yang ada dalam hatinya sifat sombong tidak akan dapat memasuki syurga Allah SWT.

Memaafkan seseorang yang kita tidak mampu membalasnya adalah sifat yang  mulia, kerana kedudukan kita pada saat itu lemah. Sementara memaafkan seseorang yang kita mampu untuk membalasnya adalah lebih baik dan lebih mulia kerana pada saat itu kedudukan kita kuat dan boleh melakukan apa saja. Ketika seseorang berusaha untuk menjadi pemaaf bermakna ia telah berusaha untuk meniru sifat Allah iaitu Al-‘Afuwwu yang Maha Pemaaf. Seseorang yang memaafkan orang lain adalah orang yang cuba menghilangkan luka hatinya akibat kesalahan yang di lakukan orang lain terhadapnya.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Emm dalam dunia nie tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati kita melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas akan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika beribadat.

Orang yang mudah memaafkan kesalahan orang lain, yakin dan percaya bahawa setiap keterlanjuran yang berlaku adalah ujian Allah yang menjadi takdir perlu dihadapi dan sekali-kali tidak akan terbelenggu dengan rasa marah berpanjangan.

Sebagai makhluk yang lemah dan selalu membuat kesilapan, berdoalah kepada Allah swt supaya hati kita sentiasa dilembutkan serta dipermudahkan untuk menghulurkan kemaafan sekalipun kita berada di pihak yang benar.Marilah bersama mentarbiahkan diri dengan menjinakkan lidah untuk mengucap kemaafan sementara tangan menghulurkan salam kemaafan kepada sesiapapun tidak kira sebesar mana kesalahan kerana dalam sifat pemaaf terkandung keberkatan dan kemuliaan yang tinggi.

Yakinlah, jika kita bersedia memberi kemaafan kepada seseorang nescaya orang juga bersedia memaafkan keterlanjuran kita. Marilah buang segala sifat mazmumah supaya perasaan sakit hati, benci dan marah dapat dijauhi

Maaflah entri panjang berjela tapi ingat walaupun kalimah maaf sukar untuk dilafazkan, tapi berusahalah untuk menjadi pemaaf. Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan.