Ticker

6/recent/ticker-posts

Kadangkala Allah Pilih Seorang dalam Keluarga untuk Menjaga Orang Tua

 

ehsan google

Kadangkala Allah Pilih Seorang dalam Keluarga untuk Menjaga Orang Tua

Tidak semua anak dipilih oleh Allah untuk menjadi penjaga kepada kedua-dua orang tua apabila usia mereka semakin lanjut. Kadangkala, hanya seorang sahaja yang Allah gerakkan hatinya untuk tinggal bersama, menjaga makan minum, berulang alik ke hospital, mengurus ubat dan rawatan, atau sekadar duduk menemani dalam sunyi hari tua.


Ini bukan satu kebetulan. Ini adalah tugas yang terpilih yang Allah berikan padaku. Bukan kerana aku paling senang, bukan juga paling lapang — tetapi mungkin kerana Allah tahu aku sanggup dan kuat untuk memikul tanggungjawab ini.


Menjaga ibu atau ayah yang sudah tua bukan tugas yang mudah. Ia menuntut kesabaran yang panjang, kekuatan fizikal dan emosi yang luar biasa, dan ketulusan hati lagi-lagi dari tutur bicara kita. Ramai mungkin melihat tugas ini sebagai beban, malah ada yang menyindir di belakang:


“tak kawin-kawin berkepit je dengan mak dia"

" nak tunjuk baiklah tu, padahal munafik"


Kata-kata itu masuk ke telinga, menikam ke hati. Tapi apa mereka tahu? Yang tidur malam terganggu, yang berkejar ke hospital di tengah malam, yang temani dia apa pun keadaan, itu semua bukan sekadar tanggungjawab, tapi amanah dari Tuhan.

Kadangkala, adik-beradik lain tidak mampu hadir selalu, bukan kerana mereka tidak sayang, tetapi kerana hidup dan keadaan tidak mengizinkan. Namun, bagi yang Allah pilih, walaupun lelah, tetap kuat; walaupun sesak, tetap bertahan.

Buat mereka yang hanya memandang dari jauh dan tidak memahami — ketahuilah, tugas ini tidak perlu dipuji. Tidak perlu disanjung. Cukuplah Allah yang tahu, cukup Dia yang menilai.

Sebenarnya sangat beruntung mereka yang dipilih Allah untuk berbakti. Redha ibu bapa itu pintu syurga. Dalam diam, mungkin berkat daripada pengorbanan itu mengalir rezeki yang tidak disangka, ketenangan dalam rumah tangga, atau doa ibu yang diam-diam menembus langit.

Dan buat pasangan hidupku, fahamilah tanggungjawab yang aku pikul ini.

Sebagai anak lelaki, menjaga ibu atau bapa yang tua adalah amanah yang aku tidak mampu lepaskan.

Ini jalanku ke syurga. Ini bahagianku yang Allah tentukan.


Jika engkau mampu bersamaku dalam ujian ini, percayalah — engkau juga sedang menempuh jalan yang sama menuju redha Tuhan.

Dan jika engkau insan yang sedang menanggung ini — jangan berhenti. Kelak apabila mereka tiada, engkau tidak akan menyesal. Engkau akan rindu penat itu. Engkau akan rindu suara tua yang bertanya soalan yang sama berulang kali. Dan ketika itu, engkau akan menangis — bukan kerana lelah, tetapi kerana syukur

“Alhamdulillah… aku pernah ada di sisi mereka sampai akhir hayatnya.”


Catat Ulasan

1 Ulasan

paridah berkata…
Allah beri ganjaran besar pada anak2 yg menjaga kebajikan ibu ayah mrk yg tua n xberdaya