LUANGKAN MASA BERSAMA IBU ATAU AYAHMU, SELAGI MEREKA MASIH ADA
Dalam kesibukan mengejar kerjaya dan memenuhi tanggungjawab hidup, sering kali kita lupa – lupa bahawa di satu sudut dunia ini, ada dua insan yang pernah mendakap kita erat ketika kita belum tahu pun apa ertinya kehidupan. Ibu dan ayah. Mereka mungkin tidak lagi sekuat dulu. Tidak selincah dahulu. Ingatan pun kadang-kadang kabur, langkah pun makin perlahan. Tapi kasih mereka, tak pernah pudar.
Aku teringat seorang sahabat. Seorang yang sangat berjaya – bergaji besar, rumah indah, kereta mewah. Tetapi, satu hari dia menangis di hadapan aku. “Aku terlalu sibuk selama ini. Mak aku selalu telefon, kadang aku tak jawab. Kadang aku kata aku sibuk. Aku fikir bila aku balik kampung nanti, aku boleh bawa dia berjalan-jalan. Tapi tak sempat... Mak dah tak ada...”
Kata-kata itu sangat membekas dalam hati aku. Kadang-kadang kita fikir kita masih ada masa. Kita fikir, ‘nanti’, ‘minggu depan’, ‘lepas projek ni habis’, ‘lepas bonus keluar’, barulah kita akan pulang menjenguk mereka. Tapi kita lupa, masa tidak menunggu kita. Usia ibu dan ayah tidak pernah menunggu ‘kelapangan’ kita.
Hakikatnya, bila usia mereka makin lanjut, mereka bukan hanya perlukan wang belanja. Mereka lebih rindukan keberadaan seorang anak. Mereka rindu untuk melihat kita pulang, duduk di hadapan mereka, berbual, tersenyum, menatap wajah tua yang semakin redup. Rindu untuk merasa disayangi kembali oleh anak yang mereka besarkan dengan seluruh tenaga dan jiwa.
Lebih menyedihkan, ramai ibu dan ayah yang kini mula mengalami Demensia – sejenis gangguan otak yang menyebabkan mereka makin pelupa, makin keliru dan kadangkala tidak mengenali orang sekeliling. Tapi walaupun mereka lupa nama kita, mereka tak pernah lupa rasa sayang mereka pada kita. Walaupun mereka hilang ingatan, kasih mereka tidak pernah hilang.
Dan jangan lupa – dalam diam, setiap hari mereka masih menyebut nama kita dalam doa. Dalam sujud mereka yang perlahan, dalam zikir mereka yang tersekat-sekat, mereka mohon agar hidup kita dipermudahkan, dilindungi dan diberkati. Doa yang tiada henti sejak kita kecil – itulah benteng paling kuat dalam hidup kita. Jangan sampai kita hilang doa itu.
Jangan sampai nanti, sekujur tubuh yang pernah memeluk kita dengan penuh kasih, terbaring tidak bermaya… hanya menunggu masa. Dan ketika itu, kita hanya mampu meratap dan menangis – menangis bukan kerana kehilangan itu belum berlaku, tetapi kerana kita terlalu lama alpa, terlalu lama berjauhan, terlalu lama tidak menghargai.
Dan ingatlah, anak-anak kita sedang melihat. Mereka sedang belajar dari perbuatan kita. Jika hari ini kita abaikan ibu dan ayah kita, jangan terkejut kalau satu hari nanti, ketika kita sendiri menua… kita diperlakukan dengan cara yang sama. Kerana kehidupan ini ibarat cermin – apa yang kita beri, akan kembali semula kepada kita.
Pernah seorang jururawat tua berkata kepada aku, “Bila ibu bapa makin berumur, mereka kembali menjadi seperti anak-anak. Mereka perlukan perhatian, sentuhan, dan pelukan lebih daripada ubat-ubatan.”
Mungkin kamu tak mampu pulang selalu. Tapi kamu boleh telefon mereka. Ucapkan “mak orang rindu mak, orang rindu abah.” Luangkan satu dua hari cuti – bukan untuk melancong, tetapi untuk menatap wajah mereka, memegang tangan mereka, dan menjadi anak yang mereka rindukan.
Kerana apabila tiba masanya jangan sampai kita hanya mampu menatap nisan yang sepi saat itulah kita akan benar-benar faham, bahawa tiada harta di dunia ini yang mampu menggantikan keberadaan mereka.
Luangkan masa selagi mereka masih ada. Jangan tunggu kehilangan untuk mula menghargai. Jangan sampai kita hilang doa yang paling ikhlas dalam hidup ini. Dan jangan sampai kita lupa – satu hari nanti, kita juga akan berada di tempat yang sama.
0 Ulasan