Adapun manusia itu, janganlah dilihat pada wajahnya semata-mata, kerana wajah yang tersenyum belum tentu hatinya sedang bersuka, dan diam yang panjang belum tentu tanda tiada apa-apa yang dirasa.Sesungguhnya, tiap-tiap seorang daripada kita membawa suatu cerita yang tidak tertulis pada wajah, suatu luka yang tiada berbekas pada tubuh, dan suatu perjuangan yang barangkali tidak pernah diceritakan kepada sesiapa.
Ada orang yang kelihatan gagah berdiri, sedang hatinya hampir rebah.Ada yang petah berkata-kata di hadapan manusia, tetapi apabila malam menjelma, dia menjadi terlalu sunyi dengan fikirannya sendiri.Ada yang sentiasa menjadi tempat orang lain bersandar, sedangkan tiada tempat untuk dirinya sendiri mengadu.Ada yang saban hari mengucapkan, “Aku tidak mengapa,” sedang dalam diam dia sedang mengumpulkan serpihan dirinya yang telah lama pecah.
Demikianlah yang dinamakan silent struggle —perjuangan yang tidak bersuara.
Tiada tepukan baginya.
Tiada siapa mengetahui betapa panjang malam yang dilaluinya.
Tiada siapa melihat berapa kali dia menangis dalam sujudnya.
Tiada siapa tahu betapa beratnya dia memujuk hati sendiri agar terus bertahan.
Namun, barangkali inilah yang perlu kita pelajari daripada segala luka:
Bahawa sakit yang kita tanggung bukanlah alasan untuk menyakiti orang lain.
Jika kita pernah dikecewakan, janganlah kerana itu kita memilih untuk mengecewakan.Jika kita pernah diperlakukan dengan buruk, janganlah kita membalasnya dengan menjadi lebih buruk.Jika hati kita pernah dilukai, janganlah luka itu kita jadikan senjata untuk melukai hati yang lain.Kerana setiap orang sedang mempunyai peperangannya sendiri.
Maka janganlah kita menambah beban pada bahu orang lain hanya kerana bahu kita sendiri pernah terasa berat.
Jika kita sedang penat, berehatlah.
Jika kita sedang kecewa, ambillah waktu untuk menyembuhkan diri.
Jika hati sedang penuh dengan amarah, diamlah terlebih dahulu sehingga reda.
Dan jika kita belum mampu memberikan kebaikan kepada seseorang, sekurang-kurangnya janganlah kita menjadi sebab bertambahnya kesedihan dalam hidupnya.
Doakanlah yang baik-baik.
Doakan orang yang pernah menyakiti kita agar Tuhan melembutkan hatinya.
Doakan orang yang pernah meninggalkan kita agar hidupnya dipermudahkan.
Doakan mereka yang pernah mengecewakan kita agar menemukan kebahagiaan yang mereka cari.
Bukan kerana mereka semestinya benar, tetapi kerana kita tidak mahu hati kita terus dipenjarakan oleh kebencian.Biarlah Tuhan yang menjadi hakim atas segala perkara yang tidak mampu kita fahami.
Kita hanya perlu menjaga hati agar tidak berubah menjadi sesuatu yang kita sendiri pernah benci.
Janganlah kerana kita pernah melalui kehidupan yang sukar, kita menjadi manusia yang toxic, yang suka mengawal, memanipulasi, merendahkan, menyalahkan dan menjadikan orang lain tempat melonggokkan segala luka.
Janganlah kerana kita pernah tidak dihargai, kita menuntut manusia lain untuk sentiasa memahami kita.
Janganlah kerana kita pernah ditinggalkan, kita membuat orang lain merasa bersalah kerana memilih untuk pergi.
Dan janganlah kerana kita sedang bergelut dengan hidup, kita menganggap seluruh dunia wajib memahami keadaan kita.
Maka kepada sesiapa yang sedang melalui silent struggle, bersabarlah.
Tidak mengapa jika langkahmu perlahan.Tidak mengapa jika sesekali kamu menangis.Tidak mengapa jika ada hari kamu terasa terlalu lelah untuk berbuat apa-apa.Tetapi dalam segala kesakitan itu, janganlah hilang akal budi.
Janganlah hilang belas kasihan.
Janganlah hilang sifat manusia.
Tetaplah berusaha menjadi baik, meskipun hidup tidak selalu baik kepadamu.Tetaplah mendoakan yang baik-baik, meskipun ada manusia yang pernah berbuat buruk kepadamu.Dan tetaplah menjaga hati, kerana hati yang pernah terluka juga berhak menjadi tempat tumbuhnya kebaikan.Kerana pada akhirnya, kita semua akan pergi daripada dunia ini dengan membawa amal masing-masing.
Bukan dengan membawa berapa ramai manusia yang telah kita jatuhkan.
Bukan dengan membawa berapa banyak hati yang telah kita lukakan.
Tetapi dengan membawa apa yang telah kita lakukan ketika kita sendiri sedang diuji.Maka jika hari ini kamu sedang berperang dalam diam, berperanglah dengan penuh sabar.Jika kamu sedang terluka, sembuhkanlah dirimu tanpa melukakan orang lain.Jika kamu sedang kecewa, lepaskanlah dengan doa.Dan jika kamu sedang tidak baik-baik sahaja, carilah jalan untuk kembali baik — bukan menjadikan orang di sekelilingmu turut tidak baik.
Kerana sesungguhnya,
kita tidak mampu memilih segala perkara yang berlaku kepada kita, tetapi kita masih mampu memilih bagaimana kita memperlakukan manusia setelah kita terluka.
Semoga Tuhan memelihara hati kita.Semoga segala yang berat dipermudahkan.Semoga yang sedang bersedih diberikan ketenangan.Semoga yang sedang kehilangan ditemukan dengan pengganti yang lebih baik.
Semoga yang sedang menunggu dipertemukan dengan sesuatu yang indah pada waktu yang tepat.Dan semoga kita semua, walau seberat mana sekalipun perjuangan yang sedang dipikul tidak menjadi manusia yang menambah berat kehidupan orang lain.Kerana setiap orang sedang berperang dengan sesuatu yang tidak kita ketahui.
Maka, jika kita tidak mampu menjadi cahaya dalam kehidupan seseorang,janganlah kita menjadi gelap yang menambahkan dukanya.
Doakanlah yang baik-baik.
Buatlah yang baik-baik.
Dan apabila hati kita sudah sembuh nanti,
jadilah sebab seseorang yang lain percaya bahawa dunia ini masih mempunyai manusia yang baik.



0 Ulasan