Ticker

6/recent/ticker-posts

Kudrat 1968: Kudrat Penonton Pula Diuji

 


Jujurnya, Kudrat 1968 agak mengecewakan. Dengan konsep dan jalan cerita yang dibawa, aku mengharapkan sesuatu yang lebih mantap. Malangnya, filem ini terasa perlahan dan kurang bertenaga, seolah-olah terlalu lama mengambil masa untuk sampai ke bahagian yang benar-benar menarik.

Paling aku tak boleh lupa, babak “Piji, jangan lari! Pigi… pigi, pigi!” yang terasa macam hampir 20 minit meleret.  Sampai satu tahap, aku sendiri tertanya-tanya, bila babak ini nak habis? Nak bina ketegangan itu boleh, tetapi kalau terlalu lama diulang-ulang, hilang juga rasa teruja penonton. Daripada berdebar, lama-lama kita pula yang penat menunggu.

Belum habis di situ, masuk pula babak budak-budak bergaduh yang entah apa-apa. Tengah berkumpul, tiba-tiba ditumbuknya kawan sebelah sendiri. Alahai! Aku faham mungkin ada sebab tertentu di sebalik babak tersebut, tetapi cara ia dipersembahkan terasa janggal dan kurang meyakinkan. Pergerakan watak seolah-olah tidak tersusun, sampai kita sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Paling mengecewakan, watak hero yang sepatutnya menjadi nadi utama filem ini terasa hilang taring. Aura dan karisma yang diharapkan tidak cukup kuat untuk mengangkat cerita. Bila jalan cerita sudah perlahan, watak utama pula kurang menyengat, memang susahlah nak kekalkan perhatian penonton.

Satu lagi, aku rasa filem ini mungkin lebih menarik kalau lima episod asalnya digabungkan menjadi sebuah filem dengan suntingan yang lebih kemas. Dengan cara ini, babak-babak yang terlalu panjang boleh dipadatkan, dialog yang berulang boleh dikurangkan dan perjalanan cerita dapat disusun dengan lebih lancar.

Barangkali melalui suntingan semula, penonton dapat merasai konflik sebenar, memahami perkembangan watak dan menikmati jalan cerita tanpa perlu mengharungi babak yang terasa terlalu lama. Bagi aku, bukan tempoh tayangan yang menjadi masalah, tetapi bagaimana setiap minit digunakan untuk menggerakkan cerita.

Lima episod digabungkan menjadi satu filem, tetapi yang penting, biarlah hasilnya terasa seperti sebuah filem yang padu, bukannya lima episod yang sekadar dicantumkan. Sebab akhirnya, penonton mahu menikmati sebuah cerita yang mempunyai momentum, bukan menguji kesabaran sampai ke penghujung.

Pada aku, filem ini lebih sesuai ditonton di Netflix sambil buat kerja lain. Sekurang-kurangnya, kalau ada babak yang meleret, kita masih boleh fokus pada benda lain tanpa rasa terlalu rugi. 

Kesimpulan: Bukan tak boleh buat filem dengan rentak perlahan, tetapi setiap babak perlu ada fungsi dan impak. Jangan sampai babak yang sepatutnya membina ketegangan akhirnya menguji kesabaran penonton.

⭐ Rating peribadi: 4/10

Bila penonton lebih sibuk menunggu babak habis daripada menunggu apa yang akan berlaku seterusnya, maknanya ada sesuatu yang tak kena dengan rentak penceritaan.

Maaflah, Kudrat 1968. Kali ini, kudrat aku pula yang diuji untuk habiskan filem ini. 


Catat Ulasan

0 Ulasan