Dalam perjalanan kehidupan ini, ada kalanya kita ditakdirkan menjadi watak yang paling hina dalam helaian cerita orang lain.
Segala kebaikan yang pernah kita hulurkan seakan-akan luput daripada ingatan, sedang secebis kekhilafan dijadikan tinta untuk mencoretkan seluruh keburukan diri.
Begitulah lumrah dunia. Manusia sering menulis kisah menurut pandangan matanya sendiri. Yang didengar sebelah pihak disangka kebenaran, yang diceritakan dengan air mata dianggap segala-galanya, sedang hakikat yang tersembunyi tidak pula dicari penghujungnya.
Maka, biarlah.
Jika mereka memilih untuk menganggap kita pendusta, biarkan. Jika mereka mahu mengenang kita sebagai manusia yang pernah melukakan, biarkan. Jika nama kita menjadi buah bicara di balik tabir perbualan mereka, biarkanlah.
Bukanlah menjadi kewajipan kita untuk membetulkan setiap lidah yang berbicara, apatah lagi memenangi setiap pengadilan manusia. Kerana semakin kita mempertahankan diri, semakin panjang pula bayang-bayang prasangka yang mengiringi.
Namun, janganlah sampai kezaliman manusia menjadikan kita lupa akan Tuhan.
Andai benar kita bersalah, pohonlah keampunan. Andai kita tersilap langkah, perbaikilah diri. Andai kita difitnah, serahkanlah urusan itu kepada Allah. Andai ada hati yang pernah terluka kerana perbuatan kita, berlapang dadalah untuk memohon kemaafan.
Kerana menjadi insan yang teraniaya bukanlah tiket untuk kita menzalimi orang lain.
Jangan biarkan luka menjadikan kita kejam. Jangan biarkan air mata mengering menjadi dendam. Jangan biarkan kepedihan yang pernah kita rasai menjadi alasan untuk melukakan hati yang lain.
Doa orang yang teraniaya itu bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
Rasulullah SAW mengingatkan bahawa doa orang yang dizalimi tiada hijab antara doanya dengan Allah.
Maka, andai kita benar-benar berada di pihak yang teraniaya, angkatlah tangan ke langit. Adukan segala yang tidak mampu kita luahkan kepada manusia. Ceritakan kepada Allah segala yang tersimpan di balik dada.
Namun, dalam setiap doa yang kita panjatkan, janganlah hanya meminta agar keadilan ditegakkan. Mohonlah juga agar hati mereka yang menyakiti kita dilembutkan oleh-Nya.
Semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk melihat kebenaran, melapangkan dada mereka untuk menerima teguran, serta mengurniakan mereka kebijaksanaan untuk membezakan antara prasangka dengan hakikat.
Semoga Allah menjauhkan mereka daripada sifat angkuh, dendam dan kebencian. Semoga mereka dikurniakan hati yang kembali mengenal kasih sayang, lidah yang berhati-hati dalam berbicara, serta jiwa yang tidak lagi tergamak mempermainkan perasaan sesama insan.
Ya Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi,
Jika kami benar-benar teraniaya, tegakkanlah keadilan-Mu buat kami. Jika ada air mata yang gugur kerana kezaliman, jadikanlah ia saksi di hadapan-Mu.
Jika ada hati yang pernah menyakiti kami, lembutkanlah hati mereka. Bukakanlah pintu hidayah buat mereka, jauhkanlah mereka daripada kebencian dan pimpinlah mereka kembali kepada kebenaran.
Jika kami pernah menzalimi sesiapa tanpa sedar, ampunkanlah kami dan berikanlah kami keberanian untuk memperbaiki segala kesalahan.
Jangan biarkan kami tenggelam dalam dendam. Jangan biarkan mereka terus hanyut dalam kezaliman. Satukanlah kami dalam kebaikan, meskipun jalan kehidupan pernah memisahkan hati kami.
Sesungguhnya, kami tidak mengharapkan manusia tunduk kepada kehendak kami. Cukuplah mereka belajar menghormati, memahami dan tidak lagi menyakiti sesama insan.
Kerana pada akhirnya, Allah tidak pernah tersilap menilai hamba-Nya.
Dia mengetahui apa yang tersimpan di balik senyuman, memahami tangis yang tidak bersuara, bahkan mengetahui segala perkara yang tidak mampu diterjemahkan oleh lidah manusia.
Biarlah manusia mengukir kita sebagai watak antagonis dalam panggung kehidupan mereka, asalkan jangan kita menjadi manusia yang zalim di sisi Tuhan.
Kerana kita tidak akan diadili berdasarkan cerita yang disebarkan manusia, tetapi berdasarkan segala amal yang telah kita kerjakan.
Pujuklah hati.
Tidak semua perkara perlu dijelaskan. Tidak semua tuduhan perlu dijawab. Tidak semua manusia perlu diyakinkan.
Cukuplah Allah menjadi saksi.
Kerana manusia boleh memutar cerita, tetapi tidak sesekali mampu menyembunyikan kebenaran daripada pengetahuan Allah Yang Maha Mengetahui.
Semoga Allah mengangkat darjat orang-orang yang teraniaya, melembutkan hati mereka yang pernah menyakiti, mengampuni segala kekhilafan kita dan menggantikan setiap kepedihan dengan ketenangan yang tidak pernah kita sangka.
Amin ya Rabbal 'alamin.



0 Ulasan