Ticker

6/recent/ticker-posts

Bahagia itu pilihan dan kerana tindakan kecil ini buatkan kita bahagia berpanjangan.


Assalamualaikum

Beberapa hari lepas aku terlibat dengan program Nikah beramai-ramai " Sakinah Mawaddah Warahmah". Sangat teruja dapat membantu dan mempermudahkan urusan 10 pasangan asnaf. Majlis sangat meriah dengan perarakan pengantin, makan damai dan sesi bergambar bersama keluarga.



Dalam majlis tersebut ada beberapa tips yang diberikan untuk kekal bahagia.Bahagia itu pilihan dan kerana tindakan kecil ini buatkan kita bahagia berpanjangan.

Ini antara yang acik sempat acik catitkan.

Pertama : Selalu ingat 

Dalam setiap apa yang kita lakukan, kita ingat dia, ingat Allah. Jaga diri kita, jaga agama kita, jaga solat kita. Selalu ingat pasangan kita.

Kedua : Selalu Sebut.

Selalu sebut nama pasangan, selalu sebut kata-kata cinta, panggilan manja dia. Selalu sebut dia dalam doa. Selalu sebut dia dalam susah dan senang.

Ketiga : Selalu kenang.

Kenanglah dia  , pengorbanan yang telah dilakukan pada kita. Kenanglah bagaimana dia lahirkan anak kita, bagaimana siang malam bekerja untuk mencari rezeki untuk kita.

Keempat : Jangan makan dan minum yang haram.

Makanan dan minuman mempengaruhi kehidupan kita. Terdapat banyak kesan-kesan buruk yang disebut oleh para ulama akibat daripada pengambilan makanan dan minuman yang haram, antaranya ialah –

Pertama : hilang keberkatan dalam hidup. Kesan daripada pengambilan makanan dan minuman yang haram akan menghilangkan keberkatan dalam hidup dan juga harta benda, sekalipun perolehannya nampak baik, namun tidak kekal lama. Hidup pula tidak bahagia dan jiwa sentiasa gelisah tidak tenang, malah hidup penuh dengan berbagai masalah.

Kedua : doanya tidak diterima oleh Allah SWT. Kesan daripada pengambilan makana dan minuman yang haram, doanya tidak akan diterima oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seseorang lelaki melakukan perjalanan yang jauh, rambutnya kusut-masai, mukanya berdebu, menadah kedua belah tangannya ke langit dan berdoa : Ya Rabbi! Ya Rabbi! Pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah akan diterima doanya itu?” (HR Muslim)

Ibnu Abbas berkata bahawa Saad bin Abi Waqas berkata kepada Nabi Muhammad SAW : “Wahai Rasulullah! Doakanlah untukku supaya menjadi orang yang diterima doa-doanya oleh Allah.” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Wahai Saad, perelokkanlah makanan kamu nescaya akan diterima doa kamu, demi Tuhan yang diri Muhammad berada di tangan-Nya, bahawa seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam rongganya, nescaya tidak akan diterima amalannya selama 40 hari.” (HR At-Tabarani)

Ketiga: hati menjadi keras. Imam Ahmad ditanya bagaimana cara melembutkan hati. Beliau menjawab, dengan memakan makanan yang halal. Perlu diingatkan bahawa hati merupakan anggota dalaman yang sangat penting dalam tubuh manusia, baik atau rosaknya anggota zahir adalah berpunca dari hati, justeru Rasulullah SAW sangat memberi penekanan terhadap hati, sebagaimana sabdanya, “Ketahuilah bahawa dalam tubuh badan terdapat seketul daging yang apabila baik, nescaya baiklah seluruh tubuh badan dan apabila ia rosak, nescaya rosaklah seluruh tubuh badan, ketahuilah, itulah hati.” (HR Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, pastikanlah makanan, minuman dan pakaian kita, benar-benar halal dan diperolehi melalui sumber yang halal. Mudah-mudahan hidup kita diberkati Allah, keluarga menjadi bahagia, anak-anak berakhlak mulia dan jiwa sentiasa tenang, serta dapat melaksanakan ibadah kepada Allah dengan penuh khusyuk dan ikhlas.

Catat Ulasan

0 Ulasan