Kadangkala, dalam perjalanan hidup ini, ada insan yang hatinya digerakkan oleh Allah untuk tetap berada di sisi ibu atau ayah yang telah lanjut usia.Tatkala teman-teman sebaya sudah berumah tangga, sudah mempunyai anak-anak yang berlari di halaman, ada pula seorang anak yang masih setia di rumah lama.
Bukan tiada hati ingin berumah tangga.Bukan tiada doa yang dipanjatkan.Bukan juga tiada insan yang datang mengetuk pintu hati.Namun barangkali Allah sedang menulis jalan yang berbeza.
Jalan yang tidak ramai manusia mengerti.
Orang melihat dari kejauhan lalu berkata,
"Senang sahaja, jaga ibu atau ayah tua. Duduk di rumah, temankan mereka."
Ah… mudah benar lidah berkata apabila tidak merasai sendiri.
Mereka tidak tahu bagaimana rasanya bangun pagi lalu melihat rambut ibu semakin memutih.Mereka tidak tahu bagaimana hati bergetar setiap kali ayah mengadu sakit pada lututnya.Mereka tidak tahu bagaimana seorang anak terpaksa menangguhkan urusan sendiri kerana ada ibu yang perlu dihantar ke klinik.Mereka tidak tahu bagaimana rasanya membeli ubat, menyediakan makan, menguruskan keperluan rumah, membawa mereka ke hospital, menemani ketika malam sunyi dan memastikan mereka baik-baik sahaja sebelum mata sendiri terlelap.
Mereka tidak tahu bahawa menjaga orang tua bukan sekadar "duduk menemani."
Ia adalah sabar yang panjang.Ia adalah pengorbanan yang kadangkala tidak disebut.
Ia adalah penat yang disembunyikan.Ia adalah air mata yang diseka sebelum orang lain melihat.
Dan yang paling berat adalah melihat insan yang dahulu begitu gagah mendukung kita, kini perlahan-lahan memerlukan tangan kita pula untuk berpaut.
Dahulu ibu yang menyuapkan nasi ke mulut kita.Kini kita pula yang menyuapkan nasi ke mulutnya.Dahulu ayah yang memimpin tangan kita ketika melintas jalan.Kini tangan itulah yang kita pimpin agar langkahnya tidak tersadung.Dahulu mereka berjaga malam kerana kita demam.
Kini giliran kita berjaga malam kerana mereka tidak sihat.Begitulah roda kehidupan berputar.Maka jika kamu termasuk dalam kalangan mereka yang masih belum berkahwin kerana keadaan hidup, janganlah terlalu cepat menganggap dirimu tertinggal.
Jangan pula merasa rendah apabila melihat teman-teman sudah mendirikan rumah tangga kerana setiap manusia mempunyai jalan takdir yang berbeza.Mungkin pintu rezekimu belum dibuka kerana ada satu amanah yang sedang kamu sempurnakan.Mungkin ada doa seorang ibu yang sedang mengiringi langkahmu.Mungkin ada redha seorang ayah yang sedang menjadi teduh dalam perjalanan hidupmu.
Dan mungkin jugadi sisi seorang ibu yang semakin tua itu, Allah sedang meletakkan sebuah pahala yang tidak mampu kamu beli dengan seluruh harta dunia.Namun jangan pula jadikan menjaga ibu dan ayah sebagai alasan untuk menutup terus pintu jodoh.
Jika suatu hari Allah hadirkan seseorang yang baik, yang memahami keadaanmu, yang sanggup menerima keluargamu dan tidak memintamu memilih antara pasangan dengan orang tuamu, maka jangan takut untuk membuka hati.
Kerana perkahwinan yang baik bukanlah tentang meninggalkan ibu dan ayah.Tetapi menemukan seseorang yang memahami bahawa ibu dan ayah juga sebahagian daripada amanah kehidupanmu.
Dan kepada mereka yang selalu bertanya,
"Bila hendak berkahwin?"
"Kenapa masih belum berkahwin?"
"Sampai bila mahu menjaga ibu dan ayah?"
Aku tidak marah.
Aku cuma berharap, sebelum kamu bertanya tentang sesuatu yang belum kamu tahu hujung pangkalnya, cubalah mengerti bahawa setiap manusia sedang berjalan dengan beban dan perjuangannya masing-masing.
Cukuplah aku tidak meminta apa-apa.
Aku tidak meminta kamu memahami seluruh kisah hidupku.Aku tidak meminta kamu mengetahui berapa banyak yang telah aku korbankan.Aku tidak meminta kamu mengerti setiap malam yang kulalui dengan kerisauan.Aku juga tidak meminta kamu tahu berapa banyak impian yang terpaksa kusimpan sementara waktu.
Cukup… doakan aku.
Doakan agar Allah memberikan aku kekuatan untuk terus menjaga mereka.Doakan agar Allah memanjangkan usia ibu dan ayahku dalam kebaikan dan kesihatan.Doakan agar aku tidak pernah jemu berbakti kepada mereka.Doakan agar segala penat yang tidak terlihat oleh manusia menjadi ibadah di sisi-Nya.Dan jika suatu hari nanti tiba waktunya mereka pergi meninggalkan dunia ini, doakan agar aku tidak dihantui penyesalan kerana pernah mensia-siakan waktu yang Allah pinjamkan kepadaku.
Tentang jodohku
doakan sahaja.
Jika sudah tertulis, ia tidak akan tersalah alamat.Jika belum tiba masanya, aku percaya Allah sedang menyusun sesuatu yang belum mampu kulihat.Aku tidak mahu memaksa takdir hanya kerana takut dikatakan lambat.Aku tidak mahu memilih seseorang semata-mata kerana takut kesunyian.Aku mahu percaya bahawa setiap sesuatu ada waktunya.Kerana barangkali, sementara manusia sibuk menghitung usiaku dan bertanya mengapa aku masih sendiri Allah sedang menghitung setiap langkah kecil yang aku lakukan untuk ibu dan ayah.
Dan barangkali juga, apa yang manusia anggap sebagai "lambat berkahwin", sebenarnya adalah satu perjalanan panjang menuju sebuah pengorbanan yang hanya Allah benar-benar tahu nilainya.
Maka…
cukup aku tidak meminta apa-apa.
Tidak perlu kasihan.
Tidak perlu memahami semuanya.
Tidak perlu bertanya terlalu banyak.
Cukup doakan aku.
Semoga aku kuat.
Semoga ibu sentiasa dalam rahmat-Nya.
Semoga segala pengorbanan kecil ini diterima sebagai bakti.
Dan semoga, apabila tiba waktuku nanti, Allah menemukan aku dengan seseorang yang memahami mengapa aku memilih untuk tinggal lebih lama di sisi insan yang dahulu tidak pernah meninggalkanku.Kerana akhirnya, hidup ini bukan perlumbaan siapa yang paling dahulu berkahwin.
Ada yang sampai dahulu.
Ada yang sampai kemudian.
Dan ada yang sengaja diperlahankan langkahnya kerana di bahunya sedang diletakkan amanah yang begitu besar.Barangkali Allah melambatkan jodohmu kerana untuk menjaga mereka.
Menjaga insan yang dahulu pernah menjaga seluruh dunianya.
Jadi, jika kamu melihat aku masih sendiri, masih di rumah yang sama, masih menemani ibu yang semakin tua jangan tanya bila aku mahu berkahwin.
Pandanglah aku dengan sedikit pengertian.
Dan jika tidak mampu berbuat apa-apa untukku,
cukuplah doakan aku.
Kerana kadangkala, doa yang tulus daripada seseorang yang tidak banyak bertanya itu lebih menenangkan daripada seribu nasihat yang tidak pernah diminta.



0 Ulasan