Dalam masyarakat kita, lambat kahwin sering dianggap pelik. Bila umur mula mencecah 30-an, telinga makin kerap dengar soalan seperti, “Bila nak kahwin?” atau “Tak risau ke tinggal sorang?” Seolah-olah kahwin itu satu-satunya penentu bahagia atau berjaya dalam hidup.
Tapi mari kita tenang sekejap dan fikir: adakah lambat kahwin itu bermakna kita tak ada rezeki?
Jawapannya: Tidak sama sekali.
Rezeki Datang Dalam Pelbagai Bentuk
Allah itu Maha Adil. Rezeki bukan hanya dalam bentuk pasangan hidup. Kadang-kadang, Dia lambatkan jodoh kita sebab Dia nak bagi ruang kita capai impian lain dulu — rezeki kesihatan, kerjaya, kewangan, ketenangan, atau peluang jaga ibu bapa. Bukankah itu juga nikmat yang besar?
Setiap orang diuji dengan cara berbeza. Ada yang kahwin awal, tapi diuji dengan masalah rumah tangga. Ada pula yang lambat kahwin, tapi hidup tenang, rezeki berkat, dan boleh bantu ramai orang.
Allah Tahu Masa yang Terbaik
Kadang-kadang, Allah tangguhkan jodoh sebab Dia sedang siapkan pasangan yang lebih baik untuk kita. Atau mungkin Dia tengah siapkan hati kita sendiri — supaya bila tiba masa, kita benar-benar bersedia, bukan sekadar ikut tekanan masyarakat.
Ingat firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 26:
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji; wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik…”
Allah dah tetapkan siapa yang sesuai untuk siapa. Tapi semua itu akan datang pada masa yang tepat, bukan masa yang kita paksa-paksa.
Fokus Jadi Versi Terbaik Diri Sendiri
Daripada stres fikir bila nak kahwin, lebih baik fokus bina diri. Tambah ilmu, jaga kesihatan, kukuhkan kewangan, luaskan pengalaman, dekatkan diri dengan Tuhan. Bila tiba masanya, semua akan berlaku dengan cara yang kita tak jangka — tenang, manis, dan penuh hikmah.
Kita Tak Mampu Tutup Mulut Orang, Tapi Kita Boleh Jaga Hati Sendiri
Realitinya, kita tak boleh kawal apa orang nak cakap. Mulut orang tak pernah penat menilai — lambat kahwin salah, kahwin awal pun ada je yang dikata. Tapi kita kena ingat, redha Allah lebih penting dari pujian manusia.
Jadi bila orang bertanya atau memberi pandangan yang menyakitkan, belajar untuk sabar. Tak perlu marah, tak perlu terasa hati lama-lama. Mungkin niat mereka baik, cuma cara mereka salah.
Doa dalam hati:
“Ya Allah, lembutkan hati mereka. Beri mereka kefahaman. Dan kalau mereka benar-benar ikhlas, jadikan kata-kata mereka doa buat aku.”
Tak perlu berdendam. Doakan mereka balik — itu tanda hati kita lebih tenang dan matang.
Jangan sesekali anggap lambat kahwin sebagai kekurangan atau kegagalan. Ia mungkin satu bentuk rezeki tertangguh yang penuh rahmat. Allah tak pernah lambat, cuma kita yang selalu gopoh.
Yakinlah, jodoh itu akan datang — bukano bila kita mahu, tapi bila Allah tahu kita dah bersedia.
0 Ulasan