Ada yang berkata, “jodoh itu takdir… nantikan sahaja, kelak ia kan tiba.”Maka benarlah akan kata itu, namun tiadalah ia sempurna sepenuhnya.Sesungguhnya jodoh itu bukan hanya sesuatu yang dinanti bahkan ia juga suatu yang perlu diusahakan dengan segenap daya.
Seringkali manusia membayangkan jodoh itu seperti tamu yang hadir tanpa diundang, mengetuk pintu hati dengan diam yang tidak diduga.Seolah-olah tugas diri hanyalah menunggu, bersabar, dan berharap tanpa henti.Namun terlupa kita akan satu hakikat bagaimana jika jodoh kita juga sedang berusaha memperelok dirinya demi kita?
Sedangkan kita… masih lagi di takuk yang lama.
Menanti tanpa usaha ibarat mengharap hujan di langit yang cerah,tanpa pernah menanam benih di bumi yang dipijak.Kita mendambakan cinta yang baik, pasangan yang matang, hubungan yang tenang namun diri sendiri belum kita perbaiki sebaiknya.
Jodoh itu takdir, benar adanya.Akan tetapi takdir itu datang bersama jalan-jalan yang harus ditempuh.
Tiada berdaya kita memilih siapa jodoh kita,namun berkuasa kita memilih siapa diri kita
tatkala bertemu jodoh itu kelak.
Adakah kita hadir sebagai jiwa yang masih luka dan belum sembuh?
Atau sebagai insan yang telah belajar memaafkan, menguatkan diri,serta memahami erti kasih yang sebenar?
Usaha dalam soal jodoh bukanlah sekadar mencari insan,
tetapi memperelokkan diri.
Belajarlah menjadi sabar.
Belajarlah menahan amarah.
Belajarlah akan erti tanggungjawab.
Belajarlah mencintai tanpa menyakiti.
Kerana adakalanya bukan jodoh itu yang lewat tiba,tetapi diri kita yang belum bersedia menyambutnya.
Sabar itu mulia.
Namun sabar tanpa perubahan hanya mengekalkan kita di tempat yang sama.
Usaha pula bukan bererti mengejar cinta tanpa arah,tetapi memperbaiki diri seolah-olah esok hari jodoh itu akan tiba.
Adapun bagi mereka yang telah lanjut usia,
yang tiap kali pulang ke desa sering ditanya,
“Bilakah engkau akan bernikah?”
yang tersenyum di bibir, namun hati menyimpan sunyi…
Ketahuilah, penantianmu itu tiadalah sia-sia.Cepat atau lambat, jika telah tertulis di Luh Mahfuz,
nescaya ia akan tetap tiba jua.
Namun dalam penantian itu,janganlah sekadar menghitung masa yang berlalu,
tetapi hitunglah juga perubahan dalam diri.
Kerana barangkali jodohmu juga sedang berusaha memperbaiki dirinya, mempersiapkan hatinya,agar bertemu denganmu dalam sebaik-baik keadaan.
Seringkali kita berdoa,
“Ya Allah, kurniakanlah aku jodoh yang terbaik.”
Tiada salah pada doa itu.
Namun eloklah kiranya kita memperbetulkan niat dan harap.
Jangan sekadar memohon jodoh yang terbaik,
tetapi berdoalah
“Ya Allah, jadikanlah aku jodoh yang terbaik buat seseorang.
Kurniakanlah aku pasangan yang membawa aku mendekat kepada-Mu,
yang menerima segala kekuranganku serta membimbingku ke jalan yang lebih baik.”
Kerana jodoh yang baik itu bukan sekadar membahagiakan,
bahkan menenangkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
Ada jodoh yang lambat, bukan kerana tidak layak,
tetapi kerana Tuhan ingin mempertemukan pada waktu yang paling tepat.
Bukan sekadar pertemuan dua hati,
tetapi pertemuan dua jiwa yang telah bersedia.
Bersedia untuk menerima,
bersedia untuk memaafkan,
bersedia untuk memimpin dan dipimpin.
Maka janganlah berputus asa dalam menanti,
dan janganlah berhenti dalam memperbaiki diri.
Kerana saat itu tiba kelak,
janganlah engkau hadir sebagai insan yang masih tercari-cari arah,tetapi sebagai insan yang telah mengenal tujuan hidupnya.
Percayalah,tiada jodoh yang datang terlalu awal atau terlalu lambat.
Segalanya berlaku pada waktu yang telah ditentukan.
Dan tatkala kamu dipertemukan nanti,semoga ia bukan sekadar pertemuan biasa melainkan pertemuan dua insan yang dipertemukan dalam sebaik-baik versi diri mereka,
untuk saling menerima, saling membimbing,
dan saling membawa…
menuju kepada-Nya.



0 Ulasan