Di dunia yang sementara ini, setiap jiwa sedang memikul beban yang tidak terlihat oleh mata manusia. Ada yang tersenyum dalam tangis, ada yang ketawa dalam luka, ada yang kelihatan kuat sedangkan hatinya sedang retak perlahan-lahan.
Janganlah engkau terlalu bangga berdiri di puncak, lalu memijak mereka yang masih merangkak di bawah. Kerana belum tentu langkahmu akan sentiasa gagah dan belum tentu orang yang jatuh hari ini akan terus berada di tanah selamanya.
Ada manusia yang diuji dengan kehilangan, ada yang diuji dengan penantian, ada yang diuji dengan rezeki yang sempit , soal jodoh dan ada pula yang diuji dengan hati yang tidak pernah tenang. Setiap orang sedang bertarung dengan takdirnya sendiri, maka mengapa perlu kita menambah luka pada hati orang lain?
Percayalah, rezeki itu ibarat hujan dari langit. Ia turun menurut waktu yang telah Allah tetapkan. Tidak akan tertukar, tidak akan tersesat dan tidak akan menjadi milik orang lain jika memang itu telah tertulis untukmu.
Maka usahlah menjatuhkan orang lain demi meninggikan dirimu. Kerana bunga tidak pernah layu hanya kerana bunga lain berkembang. Bulan tidak pernah hilang cahayanya hanya kerana bintang-bintang memenuhi langit.
Jadilah insan yang apabila dirinya naik, dia tetap merendah. Apabila dirinya berjaya, dia tetap memandang orang lain dengan belas dan kasih. Kerana setinggi mana pun engkau terbang, akhirnya kakimu tetap akan kembali menjejak bumi.



0 Ulasan