Harap-harap dalam tahun ini, jodoh yang dah lama “sesat” tu akhirnya jumpa jalan balik.
Penat sebenarnya bila setiap kali orang tanya,
“Bila nak kahwin?”
“Kawan-kawan semua dah beranak pinak…”
“Kau memilih sangat kot?”
Kita cuma mampu senyum.Jawapan ringkas, “Doakan ya.”
Padahal dalam hati, hanya Tuhan yang tahu berapa kali kita cuba yakinkan diri bahawa semuanya akan tiba pada waktu yang tepat.
Ada malam-malam tertentu, bila sunyi mula berbunyi lebih kuat daripada biasa,kita mula berfikir “Jodoh aku ni dekat mana sebenarnya?”
“Sesat teruk sangat ke sampai tak jumpa-jumpa lagi?”
Dan jujurnya,
bukan kita tak pernah cuba.Bukan kita tak pernah buka hati.Bukan kita tak pernah beri peluang.
Tapi setiap yang datang,
ada saja yang tak kena.
Ada yang hadir sekadar singgah,
ada yang datang hanya untuk mengajar,
dan ada juga yang hampir buat kita percaya
tapi akhirnya pergi tanpa kata.
Sampai satu tahap, kita letih.
Letih berharap.
Letih mempercayai sesuatu yang akhirnya mengecewakan.
Tapi dalam diam, kita tetap berdoa.
Mungkin
bukan jodoh itu yang sesat,
tapi kita yang masih dalam proses perjalanan.
Perjalanan untuk sembuh dari luka lama.
Perjalanan untuk belajar mencintai diri sendiri dulu.
Perjalanan untuk jadi seseorang yang lebih matang, lebih kuat, lebih bersedia.
Sebab jodoh bukan sekadar tentang “siapa cepat dia dapat.”
Bukan juga tentang siapa paling sempurna.
Tapi tentang dua hati yang sama-sama sudah bersedia untuk menerima kekurangan,
untuk bertahan dalam susah dan untuk memilih satu sama lain… setiap hari, bukan hanya di awal perkenalan.
Jadi tahun ini,
aku tak minta yang terlalu indah.
Cukuplah jika dia datang dengan niat yang jelas.
Cukuplah jika dia tahu apa itu tanggungjawab.
Cukuplah jika dia hadir bukan untuk menguji… tetapi untuk menetap.
Dan kalau benar dia sedang dalam perjalanan menuju ke arah aku,
permudahkanlah langkah kami walau sejauh mana pun jaraknya sekarang.
Kalau masih belum waktunya,ajarkan aku untuk terus sabar tanpa rasa putus asa.
Kuatkan aku untuk terus percaya tanpa rasa ragu.Dan lembutkan hati aku untuk menerima takdir tanpa persoal terlalu banyak.
Kerana aku percaya yang lambat itu bukan bermakna tiada.
Yang tertangguh itu bukan bermakna dilupakan.
Mungkin sedang disusun dengan begitu teliti,
agar bila tiba waktunya nanti,dia hadir bukan sekadar untuk sementara…tetapi untuk selamanya.
Semoga tahun ini,
bukan sekadar menemukan jodoh yang “sesat” itu…
tetapi menemukan seseorang yang benar-benar tahu arah pulang iaitu pulang kepada aku,
dan tetap memilih untuk tinggal jadi rumah untuk bersama.
Ya Allah,
Jika benar dia adalah jodohku yang telah lama Engkau siapkan,
maka dekatkanlah kami dalam cara yang paling indah
bukan dengan dosa,
bukan dengan luka,
tetapi dengan restu dan keberkatan dari-Mu.
Temukan kami pada waktu yang tepat,
saat aku sudah cukup kuat untuk menjaga,
dan dia sudah cukup matang untuk menghargai.
Satukan kami bukan sekadar kerana rasa,
tetapi kerana iman yang saling menguatkan.
Namun ya Allah…
Jika selama ini aku mengejar seseorang yang bukan untukku,
yang hanya hadir sebagai ujian,
yang hanya singgah untuk mengajar aku erti kehilangan
maka lepaskanlah dia dari hatiku.
Ajarkan aku untuk merelakan tanpa membenci,
melupakan tanpa menyakiti diri sendiri,
dan menerima bahawa tidak semua yang aku sayang
ditakdirkan untuk tinggal.
Ya Allah,
Aku tidak minta yang sempurna,
kerana aku sendiri penuh dengan kekurangan.
Aku hanya minta seseorang yang ikhlas,
yang tetap memilih aku walau tahu siapa diriku sebenar.
Seseorang yang tidak hanya hadir saat aku bahagia,
tetapi tetap bertahan saat aku jatuh dan lemah.
Yang tidak menjanjikan dunia,
tetapi mengajakku menuju syurga.
Dan jika jodohku masih jauh…
jagalah dia untukku seperti Engkau menjaga hatiku hari ini.
Lindungilah dia dari segala yang tidak baik,
dan dekatkanlah dia kepada-Mu sebelum Engkau dekatkan dia kepadaku.
Sementara itu, ya Allah…
tenangkanlah hatiku dalam penantian ini.
Jangan biarkan aku lelah berharap pada yang salah,
jangan biarkan aku terikat pada yang tidak pasti.
Ajarkan aku bahawa menunggu bukanlah sia-sia,
jika yang aku tunggu itu adalah sesuatu yang Engkau redhai.
Dan jika suatu hari nanti kami bertemu,
aku tidak mahu ia sekadar pertemuan biasa…
aku mahu ia menjadi jawapan kepada setiap doa
yang pernah aku bisikkan dalam air mata.
Aamiin.



0 Ulasan