Keputusan SPM dah keluar. Ada yang gembira, ada yang kecewa, ada juga yang rasa takut nak balik rumah sebab keputusan tak seperti yang diharapkan.
Hakikatnya, bukan semua anak dilahirkan untuk cemerlang atas kertas peperiksaan. Ada yang bijak bercakap ada yang pandai berniaga, ada yang kreatif, ada yang cekap menggunakan tangan dan ada yang memang berbakat dalam bidang kemahiran.
Sebab itu, keluarga sangat memainkan peranan besar selepas keputusan SPM keluar.
Jangan bandingkan anak dengan orang lain.
“Anak orang dapat 8A, kenapa kau tak boleh?”
“Sepupu kau pandai, kenapa kau malas?”
Ayat macam ini nampak kecil, tapi sangat melukakan hati anak-anak. Mereka sendiri sudah rasa kecewa, rasa gagal, rasa malu. Jangan tambah luka itu.
Peluk mereka. Cakap pada mereka:
“Tak apa, ini bukan pengakhiran hidup.”
“Kita cari jalan lain.”
“Ayah dan ibu tetap bangga.”
Kadang-kadang anak yang keputusan sederhana inilah nanti yang paling berjaya dalam hidup. Bukan semua orang perlu masuk universiti untuk berjaya. Ada yang lebih sesuai sambung dalam bidang sijil kemahiran, TVET, kolej vokasional, kulinari, automotif, pendawaian, jahitan, kecantikan, welding, mekanik, komputer dan banyak lagi.
Ramai yang berjaya bina kerjaya hebat melalui sijil kemahiran. Ada yang buka bengkel sendiri, ada yang jadi juruteknik, ada yang jadi chef, ada yang buka bisnes sendiri. Pendapatan pun kadang-kadang lebih baik daripada yang lain.
Yang penting, jangan biarkan anak rasa mereka tidak berguna hanya kerana keputusan SPM mereka tidak seperti orang lain.
Setiap anak ada rezeki dan jalan hidup masing-masing.
Acik pun bukan pandai sangat, mula dari bawah. Tak apa, yang penting kita terus usaha.
Tugas ibu bapa bukan hanya bangga bila anak berjaya, tetapi tetap berdiri di sebelah mereka ketika mereka rasa gagal.
Kadang-kadang, satu pelukan daripada mak ayah lebih kuat daripada seribu kata-kata orang luar.
Ramai orang ingat bila keputusan SPM tak begitu cemerlang, masa depan dah gelap. Hakikatnya tidak.
Selain sijil kemahiran, politeknik juga antara pilihan yang sangat baik untuk sambung diploma. Ramai graduan politeknik berjaya dapat kerja dalam bidang teknikal, perniagaan, IT, kejuruteraan, hospitaliti dan macam-macam lagi. Ada juga yang sambung ijazah selepas tamat diploma.
Jangan malu jika anak pilih jalan berbeza daripada orang lain. Bukan semua orang perlu masuk universiti terus. Ada yang lebih sesuai belajar secara praktikal, ada yang lebih cepat faham bila terus buat kerja dengan tangan sendiri.
Paling penting, teruskan menimba ilmu. Jangan berhenti hanya kerana kecewa dengan keputusan SPM. SPM ini hanyalah sebuah permulaan.
Mungkin hari ini orang nampak sambung belajar itu seperti membazir duit dan masa, tetapi beberapa tahun akan datang, ilmu dan sijil itulah yang akan membantu mencari kerja, membuka peluang dan mengubah kehidupan.
Dunia sekarang semakin mencabar. Banyak pekerjaan perlukan kemahiran, sijil dan pengalaman. Sebab itu, walau apa pun keputusan SPM, teruskan melangkah.
Jangan rasa rendah diri. Jangan rasa kalah.
Jalan setiap orang berbeza, tetapi selagi kita tidak berhenti belajar, selagi itu peluang masih ada.



1 Ulasan