Dalam perjalanan hidup ini, janganlah kita terlalu ghairah menjadi manusia yang memadamkan kegembiraan orang lain. Jangan sampai kehadiran kita menjadi sebab seseorang kehilangan senyuman, luntur semangatnya atau berasa bersalah hanya kerana dia sedang menikmati kebahagiaan yang dikurniakan Tuhan kepadanya.
Ada manusia, tatkala melihat orang lain sedang berbahagia, lidahnya lekas menghamburkan sindiran.
Orang lain baru hendak bergembira, kita hadir dengan kata-kata yang mencemuh.
Orang lain baru memperoleh kejayaan, kita sibuk mencari cela dan kekurangannya.
Orang lain sedang berkobar-kobar membina impian, kita pula datang mematahkan semangatnya dengan kata-kata yang melemahkan.
Orang lain sedang menikmati sesuatu yang telah lama diusahakan, kita pula merasakan perlu mencari alasan untuk memperkecilkan pencapaiannya.
Mengapa demikian?
Apakah kebahagiaan orang lain begitu menyakitkan mata kita? Apakah kejayaan mereka mengurangkan sedikit pun bahagian rezeki yang telah ditentukan buat kita?
Ketahuilah, tidak semua perkara yang menggembirakan orang lain memerlukan ulasan daripada kita. Tidak semua kejayaan mereka perlu kita nilai, dan tidak semua kegembiraan mereka perlu kita selitkan dengan sindiran.
Belajarlah untuk membiarkan orang lain menikmati saat-saat indah dalam kehidupan mereka tanpa perlu kita menjadi hakim yang menentukan sama ada mereka layak berbahagia ataupun tidak.
Andai sahabat kita memperoleh pekerjaan yang diimpikan, ucapkanlah tahniah. Andai seseorang berjaya memiliki sesuatu setelah bertahun-tahun berjerih payah, tumpanglah gembira. Andai ada insan yang akhirnya menemui sinar setelah sekian lama bergelut dengan kegelapan, janganlah kita menjadi orang yang meniup padam pelita di tangannya.
Kita perlu memahami satu perkara: kebahagiaan seseorang tidak pernah memerlukan pengesahan daripada kita.
Mereka tidak perlu mendapatkan keizinan kita untuk tersenyum. Mereka tidak perlu meminta persetujuan kita untuk meraikan kejayaan. Mereka juga tidak perlu menjelaskan panjang lebar mengapa mereka memilih untuk berasa bahagia.
Jangan terlalu sibuk mengukur kehidupan orang lain sehingga terlupa memperindah kehidupan sendiri.
Jika belum mampu memberikan kegembiraan, sekurang-kurangnya jangan menjadi punca kesedihan. Jika belum mampu menghulurkan pujian, tahanlah lidah daripada melontarkan cemuhan. Jika belum mampu menjadi penyokong, jangan pula memilih untuk menjadi penghalang.
Sesungguhnya, dunia ini sudah cukup sarat dengan ujian, kekecewaan dan luka yang tidak terlihat oleh mata. Janganlah kita menambahkan beban sesama manusia hanya kerana kita gagal mengawal rasa iri, dengki atau ketidakpuasan hati.
Jadilah manusia yang apabila melihat orang lain tersenyum, turut berasa lapang hatinya. Apabila melihat orang lain berjaya, turut mendoakan kesejahteraannya. Dan apabila melihat orang lain sedang berusaha, jadilah suara yang menguatkan, bukan suara yang menjatuhkan.
Kerana pada akhirnya, kita semua sedang berjuang dengan bahagian kehidupan masing-masing.
Tidak semestinya kebahagiaan orang lain menjadi kehilangan buat kita. Tidak semestinya kejayaan mereka menjadi kekalahan buat kita.
Ada waktunya, cara paling indah untuk menunjukkan kematangan jiwa ialah dengan membiarkan orang lain bahagia tanpa kita perlu menjadi sebahagian daripada kebahagiaan itu.
Jangan menjadi joykiller. Jadilah manusia yang membawa teduh, bukan mendatangkan ribut dalam kehidupan orang lain.
Kerana hati yang mulia tidak merasa tergugat melihat orang lain bersinar. Bahkan, ia turut berbahagia apabila melihat cahaya yang menerangi kehidupan insan lain.



0 Ulasan