Duhai Hati, Berdamailah dengan Takdir
Pernah tak rasa hidup ni macam tak adil?
Kita dah usaha. Kita dah doa. Kita dah tunggu. Tapi yang kita harapkan tetap tak jadi milik kita. Orang lain yang dapat. Kita? Duduk termenung, tanya diri, “Apa lagi yang kurang?”
Aku pun pernah rasa macam tu.
Beberapa tahun lepas, aku pernah apply kerja yang aku betul-betul nak. Syarikat tu idaman aku sejak zaman belajar lagi. Bila dapat panggilan temuduga, aku bersungguh-sungguh. Siap buat latihan depan cermin, hafal jawapan, minta doa mak ayah. Tapi akhirnya, aku tak dapat. Mereka ambil orang lain.
Masa tu, aku kecewa. Rasa macam dunia ni tak menyebelahi aku langsung. Aku persoalkan takdir. Aku rasa macam… Allah tak dengar doa aku.
Tapi sekarang, bila aku toleh ke belakang — aku senyum.
Sebab lepas ditolak kerja tu, aku terima tawaran kerja lain yang aku tak jangka langsung akan bawa aku ke tempat aku berada hari ni. Aku jumpa kawan-kawan baru, suasana kerja yang baik, dan paling penting… aku jumpa erti hidup yang sebenar.
Baru aku faham. Bila Allah tak beri apa yang kita nak, Dia sedang susun apa yang kita perlu.
Hati, Belajarlah Reda
Reda bukan bermaksud kita tak boleh sedih. Sedih tu fitrah. Tapi bila kita belajar untuk reda, kita sedang latih hati untuk tenang walaupun dalam kecewa.
Takdir ni, bukan benda yang boleh kita kawal. Tapi cara kita terima takdir — itu kita boleh pilih. Nak marah? Nak merungut? Atau nak bersyukur walaupun belum nampak hikmah?
Takdir Tak Pernah Salah
Kadang-kadang kita rasa kita lambat. Orang lain dah kahwin, kita masih solo. Orang lain dah beli rumah, kita masih menyewa. Tapi percayalah, setiap orang ada timeline masing-masing. Hidup ni bukan perlumbaan.
Apa yang penting, jangan bandingkan skrip hidup kita dengan orang lain. Takdir kita unik. Dan Allah tahu bila waktu yang tepat untuk beri sesuatu pada kita.
Ujian Bukan Selalu Dalam Bentuk Derita
Kadang kita terlalu takutkan ujian dalam bentuk kehilangan. Tapi kita lupa — nikmat pun ujian. Dan itu ujian yang jauh lebih halus.
Bila kita senang, kita jarang rasa perit. Kita lupa nak tunduk. Kita rasa semua hasil usaha kita, padahal semuanya pinjaman dari Tuhan.
Takut sebenarnya… bila Allah beri semua yang kita nak, tapi kita lupa untuk bersyukur.
Hati, Peluk Takdirmu
Duhai hati, jangan terlalu keras dengan dirimu. Tak semua yang kita rancang akan jadi kenyataan. Tapi semua yang Allah rancang, pasti yang terbaik.
Bila kau rasa sesat, pegang semula satu perkara: Allah tak pernah lupa pada hamba-Nya.
Kadang-kadang yang pahit itulah ubat. Yang pedih itulah penawar. Dan yang kita tak minta, itulah sebenarnya doa kita yang dah lama termakbul… cuma dalam bentuk yang kita tak jangka.
Berdamailah dengan takdir, wahai hati. Takdir itu bukan musuhmu. Dia cuma jalan sunyi yang bawa kau pulang kepada Tuhanmu.
0 Ulasan