Assalamualaikum
Ada kalanya kita duduk menyulam kisah hidup ini dengan benang angan-angan, disusun rapi seolah-olah tiada cela. Kita hitung hari esok, kita lakar bahagia, termasuklah tentang jodoh yang diimpikan wajahnya, sifatnya, waktunya. Kita sangka dialah yang bakal mengisi halaman hidup hingga ke hujung cerita. Namun terlupa kita, di atas segala perancangan insan, ada Ketentuan Tuhan Yang Maha Berkuasa, yang sekali Dia berkehendak, maka berubah segala arah dan takdirnya.
Jodoh, seperti juga rezeki dan usia, bukanlah milik sangka manusia. Ada yang hadir sebentar sebagai ujian, ada yang pergi sebagai pengajaran, dan ada yang lambat tiba kerana sedang disiapkan dengan penuh kasih oleh Tuhan. Takdir kita tidak serupa dengan takdir orang lain; ada yang bertemu awal ada yang menunggu lama. Bukan kerana kita kurang nilai, tetapi kerana Allah sedang memelihara hati dan masa kita.
Maka percayalah, takdir Allah itu sentiasa yang terbaik, biarpun kadangkala ia hadir tidak seperti yang kita harapkan. Apa yang terlepas dari genggaman bukan tanda penolakan, dan apa yang tertunda bukan lambang kekecewaan. Lapangkanlah dada, kerana di sebalik setiap penangguhan, tersimpan rahmat dan hikmah yang tidak terjangkau oleh akal.
Ketahuilah wahai hati, Allah tidak pernah tersilap menulis kisah hidup, apatah lagi kisah cinta hamba-Nya. Dia Maha Mengetahui siapa yang mampu kita sayangi dan siapa yang mampu menyayangi kita dengan penuh amanah. Dia tahu sebesar mana jiwa kita mampu menerima dan memikul tanggungjawab bernama pasangan.
Maka berserahlah dengan penuh reda dan lapang dada. Andai jodoh hadir lewat dari harapan, yakinlah bahawa Allah sedang menyusun yang lebih indah dari segala angan. Kerana sesungguhnya, segala yang Allah takdirkan buat kita termasuk soal jodohitulah sebaik-baik ketentuan, meski hati hanya mengerti maknanya setelah waktu berlalu.
Dengarlah nasihat ini wahai jiwa: jangan gopoh menuntut apa yang belum sampai masanya, dan jangan meratapi apa yang telah pergi. Peliharalah hati dengan sabar, kuatkan doa dalam sujud, dan perbaikilah diri sebaik-baiknya. Kerana jodoh yang baik tidak datang kepada hati yang leka, tetapi kepada jiwa yang sedang dibentuk dengan kesabaran dan keikhlasan.
Ketahuilah wahai hati, Allah tidak pernah tersilap menulis kisah hidup, apatah lagi kisah cinta hamba-Nya. Dia Maha Mengetahui siapa yang mampu kita sayangi dan siapa yang mampu menyayangi kita dengan penuh amanah. Dia tahu sebesar mana jiwa kita mampu menerima dan memikul tanggungjawab bernama pasangan.
Maka berserahlah dengan penuh reda dan lapang dada. Teruskan melangkah tanpa prasangka buruk kepada takdir.



0 Ulasan