Malam itu sunyi.Jam berdetik perlahan, dan aku masih terjaga. Di saat dunia sudah lena, aku duduk sendiri mengangkat hati yang letih ke hadapan-Mu.
“Yaa Allah…”aku berbisik, kerana hanya DiriMu yang tahu berapa lama aku belajar menunggu. Menunggu tanpa tahu di mana hujungnya, menunggu sambil DiriMu uji hatiku dengan sepi yang tidak semua orang mampu faham.
Ada malam aku kuat ada malam air mata jatuh tanpa suara. Namun aku kembali bertanya pada-Mu, jika penantian ini memang jalan yang telah Allah pilihkan,ajarkan aku sabar yang tidak bersuara, sabar yang tidak merungut, sabar yang tetap percaya bahawa janji-Mu tidak pernah mengecewakan.
Pernah juga aku rasa dunia ini terlalu sunyi.Tiada bahu untuk bersandar,tiada tangan untuk digenggam. Saat itu aku sedar, aku masih punya diriMu, Yaa Allah.Lalu aku memohon, cukupkan hatiku dengan kasih-Mu, biarlah aku tenang walau sendirian, kerana aku tahu,aku tidak pernah ditinggalkan.
Dalam diam, aku menyimpan satu doa.Aku tidak meminta yang sempurna.Aku hanya membayangkan seseorang yang baik akhlaknya, lembut tutur katanya, tenang wajahnya dan bersih niatnya. Seseorang yang mencintaiku kerana-Mu,dan suatu hari nanti menggenggam tanganku menuju redha-Mu.
Namun aku juga takut, Yaa Allah.Takut hatiku terjatuh pada yang bukan milikku. Maka jika dia masih belum ditakdirkan hadir, peliharalah hatiku.Jauhkan aku daripada hubungan yang melalaikan dan melukakan,yang membuat aku lupa kepada-Mu dan mengorbankan ketenangan jiwa.
Dan jika jodohku kini sedang berjuang di tempat yang aku tidak tahu, aku titipkan dia dalam doa. Peliharalah dia dalam penjagaan-Mu.Jauhkan dia daripada perkara yang Kau murkai. Didiklah hatinya dengan iman, hiasilah akhlaknya dengan sabar, dan lembutkan jiwanya dengan kasih sayang.
Akhirnya, aku menutup doa dengan satu harapan.Yaa Allah…
Pertemukan kami pada waktu yang paling indah menurut-Mu.Saat hati kami sama-sama siap, saat cinta itu tidak lagi menuntut, tetapi membawa kami semakin dekat kepada-Mu.
Dan malam itu,aku tidur dengan satu rasa —bukan lagi resah,tetapi reda.



0 Ulasan