Kahwin Itu Lama, Seumur Hidup
Orang tua-tua dahulu berpesan,
“Kahwin itu bukan sehari, tetapi sepanjang usia.”
Maka janganlah kamu memilih seseorang hanya kerana elok rupanya pada pandangan mata, atau manis tutur katanya tatkala sedang berkasih.
Carilah dia yang apabila kamu berbicara, hatinya sudi mendengar.
Yang apabila kamu berkeluh kesah, tidak lekas menghukum.
Yang apabila kamu jatuh, tidak menambah luka dengan kata-kata yang menikam.
Janganlah kamu memilih insan yang suka memaki, menghina dan merendahkanmu.
Kerana pada awalnya mungkin kamu berkata,
"Dia marah sahaja."
"Nanti dia berubah."
"Mungkin aku yang terlalu mengambil hati."
Tetapi ingatlah, wahai hati,
kata-kata yang sering dilontarkan ketika marah juga memperlihatkan bagaimana dia menghargai dirimu.
Jangan kamu anggap biasa apabila namamu dipanggil dengan cela.
Jangan kamu anggap gurauan apabila harga dirimu dipijak.
Jangan kamu biasakan hati menerima makian atas nama cinta.
Kerana perkahwinan itu panjang.
Jika sebelum akad lagi kamu sudah sering dibuat merasa kecil, bagaimana kelak apabila hidup mendatangkan ujian yang lebih besar?
Carilah seseorang yang boleh kamu ajak berbicara tentang perkara kecil. Yang mampu menjadi tempat kamu pulang setelah penatnya dunia. Yang apabila marah, masih tahu batas bahasanya. Yang apabila kecewa, tidak menjadikan penghinaan sebagai senjata.
Cinta itu bukan sekadar memiliki. Cinta itu menjaga maruah orang yang kita cintai.
Pilihlah dia yang tahu bersyukur kerana memilikimu.
Yang tidak menjadikan kekuranganmu sebagai bahan celaan.
Yang tidak menggunakan kelemahanmu untuk menang dalam pertengkaran.
Yang tidak membuat kamu sentiasa tertanya-tanya,
"Apakah aku ini cukup baik untuk dicintai?"
Kerana kamu tidak diciptakan untuk hidup sepanjang usia dengan seseorang yang membuatmu merasa tidak berharga.
Carilah insan yang apabila usia semakin menua, rambut mulai memutih dan wajah tidak lagi seperti dahulu, dia masih mahu duduk di sisimu dan berkata,
“Aku tetap memilihmu.”
Maka jangan terburu-buru hanya kerana melihat orang lain telah dahulu sampai ke pelamin.
Jodoh bukan perlumbaan.
Perkahwinan bukan tentang siapa yang cepat sampai tetapi siapa yang sanggup tinggal, menjaga dan menghormati setelah sampai.
Kerana kahwin itu lama.
Seumur hidup.
Maka pilihlah seseorang yang membuatmu merasa dihargai, bukan seseorang yang membuatmu terpaksa bertahan hanya kerana takut kehilangan.



0 Ulasan