Ticker

6/recent/ticker-posts

Antara Ujian Yang Berat Adalah Ujian Kehilangan Orang Yang Kita Sayang



gambar hiasan

Hidup di dunia tidak lepas dari ujian dan dugaan dari Allah. Itu sudah menjadi rencah kehidupan manusia. Ada dua jenis bentuk ujian buat manusia, ujian dalam bentuk kesenangan dan ujian dalam bentuk kesusahan.

Cuma, acapkali apabila disebut ujian Allah maka rata-rata manusia beranggapan ujian itu adalah dalam bentuk bala dan musibah. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi. Bahkan ujian kesenangan sebenarnya lebih sukar kerana kebiasaannya manusia itu lupa kepada Tuhan tatkala dirinya mengecapi pelbagai kesenangan hidup. Apabila ditimpa kesusahan, kebanyakan manusia akan kembali menyeru Tuhannya.


 
 
Mengenai ujian kesusahan, firman Allah di dalam Surah al-Baqarah:

[155]
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
[156]
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
[157]
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
[Surah al-Baqarah, 2:155-157]

Tetapi antara ujian yang berat adalah ujian kehilangan orang yang kita sayang.

Kisah Abu Salamah dan Ummu Salamah

Ada satu kisah menarik yang perlu kita hayati.kita hayati.Siapa yang tidak kenal akan Abu Salamah dan isterinya, Ummu Salamah, radiyallahu 'anhuma. Kedua-duanya adalah antara sahabat Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang terawal memeluk Islam. Mereka berdua adalah antara pasangan yang sangat bahagia, namun ditentang oleh suku kaum mereka kerana mereka memeluk Islam. Suku Makhzum adalah antara puak yang terkenal sangat kuat menentang Islam di Makkah. Pada awalnya, kedua-dua Abu Salamah dan Ummu Salamah berhijrah ke Habsyah. 

Kemudian tatkala timbul seruan hijrah ke Madinah, bersiap-siaplah Abu Salamah, Ummu Salamah dan anak mereka Salamah untuk berhijrah ke Madinah. Abu Salamah hanya memilik seekor unta, maka dia terpaksa berjalan dan membiarkan isteri dan anaknya menunggang unta. Malang sekali di pertengahan jalan, kaum keluarga mereka telah mengejar dan menahan mereka. Unta Abu Salamah dirampas, manakala Ummu Salamah dibawa pulang oleh keluarganya ke Makkah manakala keluarga Abu Salamah pula mengambil anak mereka Salamah kembali ke Makkah jua. Akhirnya Abu Salamah terpaksa berhijrah ke Madinah seorang diri, dan terpisahlah ketiga-tiga mereka.

Setiap hari, Ummu Salamah akan kembali ke tempat mereka dipisahkan dan mengenangkan suaminya di Madinah dan anaknya yang dijaga oleh keluarga suaminya di Makkah. Lebih kurang setahun ketiga-tiga mereka hidup terpisah sehinggalah akhirnya Ummu Salamah dan anaknya dibebaskan. Dengan semangat yang kuat, Ummu Salamah membawa anaknya, Salamah yang masih kecil untuk ke Madinah. Bayangkan seorang wanita dan anak kecilnya ingin berjalan jauh menuju ke pangkuan suami berseorangan semata-mata kerana ingin menjaga agamanya! Ummu Salamah tidak mahu berlengah kerana takut suku kaumnya akan merubah fikiran dan kembali menahannya dan memisahkannya dari anaknya.

Lantas dia memulakan perjalanan, dan sesampainya di Tan'im, penjaga Kaabah - Uthman ibn Talhah yang masih belum memeluk Islam berpendapat bahawa tidaklah patut Ummu Salamah dan anak kecilnya dibiarkan berkelana ke Madinah tanpa ditemani lelaki. Maka dia berjanji kepada Ummu Salamah bahawa dia akan membawa mereka ke Madinah.

Akhirnya bersatulah kembali Ummu Salamah dan suaminya, Abu Salamah. Percintaan suami isteri ini sangatlah kuat, sehingga dikatakan pada suatu hari, Ummu Salamah berkata kepada suaminya bahawa dia (Ummu Salamah) mendengar daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bahawa sekiranya kedua-dua suami isteri dapat masuk syurga, maka si suami akan kembali bersama isterinya jika isterinya tidak berkahwin lain selepas kematian suaminya; begitu juga isteri akan bersama suaminya jika suaminya tidak berkahwin lain selepas isterinya mati.

Lantas Ummu Salamah meminta suaminya agar mereka sama-sama berjanji untuk tidak berkahwin lain jika salah seorang mereka mati dahulu agar dapat bersama-sama kembali di syurga. Tetapi suaminya, Abu Salamah berkata, sekiranya dia (Abu Salamah) mati dahulu, dia mahu isterinya berkahwin lagi. 

Lantas Abu Salamah berdoa kepada Allah, andai dia (Abu Salamah) mati dahulu, kurniakanlah kepada isterinya seorang suami yang lebih baik darinya. Begitu hebat cinta dan kasih sayang kedua-dua suami isteri ini.

Pada peperangan Uhud, Abu Salamah mengalami kecederaan teruk. Ketika masih dirawat isterinya, Abu Salamah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam memberitahu, sesiapa yang ditimpa bala musibah, hendaklah dia menyebut istirja' (Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un), dan berdoa, "Ya Allah, berilah ganjaran atas kehilangan akibat musibah yang melanda diriku, dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya, maka pasti Allah akan mengurniakan sesuatu yang lebih baik." Akhirnya Abu Salamah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, dan tinggallah Ummu Salamah bersama anak-anak mereka di Madinah.


 


Ummu Salamah, tatkala teringat kembali akan kata-kata suaminya, sering melafazkan istirja' dan doa tersebut. Cuma dia seringkali tidak dapat meneruskan lafaz 'berilah ganti yang lebih baik', dan jika disebut juga lafaz tersebut, dia akan terkenang kerana baginya siapakah lelaki yang dapat menjadi suami yang lebih baik daripada Abu Salamah.

Segala kesusahan yang pernah mereka alami tatkala mula-mula memeluk Islam, ditambah dengan kebahagiaan mereka di Madinah menguatkan lagi rasa cinta Ummu Salamah kepada suaminya. Namun akhirnya berkat doa Ummu Salamah tersebut Allah mengurniakan Ummu Salamah seorang suami yang akhirnya diakui lebih baik dari Abu Salamah. Siapakah lelaki itu? Tidak lain daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam sendiri.

Lihat sahaja ujian yang melanda Ummu Salamah. Ujian apakah yang lebih berat daripada kehilangan insan-insan tersayang yang banyak pula menempuh suka duka kehidupan bersama di jalan Allah. Namun Allah tetap memberi ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang bersabar.

Catat Ulasan

5 Ulasan

Siti Yang Menaip berkata…
ya mmg dugaan sangat.. tapi Allah Maha Mengetahui..
usryabdullah berkata…
Satu kisah yang menyayat hati. tapi mempunyai pengajaran tersendiri.
Unknown berkata…
Kisah yang menjadi iktibar buat kita semua...
Maria Firdz berkata…
Dugaan hebat untuk orang yang hebat...